Thursday, February 17, 2011

Umno Marang Bersatu

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman

Kehadiran penuh saf kepimpinan Umno Bahagian Marang dan ketua-ketua sayap parti itu serta lebih 1,000 orang dengan sebahagian besarnya bekas pejuang Umno, pada majlis

Mesra Veteran Bersama Pemimpin, Jasa Mu DiKenang peringkat Parlimen Marang, petang ini, membuktikan kesungguhan parti itu merebut semula kerusi Parlimen Marang daripada pembangkang.


Penyelia Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu Parlimen Marang, Anuar Yahya, berkata pihaknya yakin kehadiran luar dugaan pada majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang, akan menyemarakkan usaha untuk membangkitkan semangat petugas parti bagi memenangi semula calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Majlis ini menyaksikan kehadiran pemimpin baru Umno dan bekas pemimpin parti ini di peringkat bahagian. Semua pihak terlibat secara langsung dan hadir di majlis ini, tidak ada kem atau puak-puak tertentu seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak sebelum ini.

“Hilang rasa penat dan lelah petugas yang bertungkus lumus menyediakan pelbagai persiapan bagi menjayakan majlis ini sejak lebih sebulan lalu,” katanya kepada Teganukita selepas majlis tersebut selamat disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Rasa teruja Anuar dengan kehadiran yang ramai itu terbukti apabila dewan berkenaan tidak mampu menampung kehadiran para hadirin, sehingga mereka terpaksa duduk di kanopi yang dipasang di tepi dewan tersebut.

Antara pemimpin bahagian yang hadir ialah Ketua Umno Bahagian, Encik Yahya Khatib dan Timbalannya, Haji Alias Abdullah; Naib Ketua Bahagian, Encik Razali Idris, Ketua Pergerakan Pemuda, Encik Saiful Bahri Dato’ Baharuddin dan Ketua Puteri Bahagian, Marina Endut.

Kehadiran yang luar biasa itu juga menimbulkan semangat kepada Menteri Besar yang berucap agak panjang walaupun beliau menghadiri acara yang sama pada sebelah pagi di peringkat Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, jasa veteran amat besar kerana mereka berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata, walaupun banyak negara lain di dunia yang mempunyai bilangan umat Islam yang jauh lebih besar berbanding negara ini, mereka gagal memartabatkan Islam sebagai agama rasmi.

Di Indonesia sebagai contoh, katanya, mempunyai kira-kira 200 juta penganut Islam, tetapi Islam bukan agama rasmi republik tersebut.

“Terdapat ramai ulamak yang lebih hebat di Indonesia, tetapi mereka tidak mampu menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara itu,” katanya.

Beliau berkata, itulah kehebatan pejuang Umno dan sewajarnya ia disanjung oleh generasi hari ini.

MARANG HARI INI

No comments:

Post a Comment